6 Mac 2022 - Kerajaan bercadang menggubal dasar baharu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran bidang itu, kata Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob. Perdana Menteri berkata, cadangan itu mampu dilaksanakan selepas pencapaian rekod TVET mampu melahirkan pekerja mahir terlatih dan berupaya mencipta kerja sendiri selain menjadi graduan pilihan dalam industri berkenaan.
Selain itu, kebolehpasaran pelatih lepasan TVET pada 2020 mencecah 87 peratus, mengatasi 84.4 peratus rekod keboleh pasaran di peringkat nasional. "Secara keseluruhannya kadar kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti pada tahun sama ialah 94.2 peratus dan nilai ini paling tinggi antara institut latihan awam yang kita ada di Malaysia.
"Kalau dahulu, sijil latihan TVET ini tidak boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tetapi hari ini sudah ada beberapa universiti menerima sijil vokasional TVET ini untuk kelangsungan pelajar bidang ini," katanya pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit @ Pontian di Kompleks MUafakat Sungai Pinggan, Benut, Johor hari ini.
Tambah beliau, pihak kerajaan juga akan memberi cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggubal dasar baharu supaya pelajar boleh membut pilihan subjek yang mereka ingin ceburi daripada peringkat sekolah menengah terutama pada permulaan tingkatan 1.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyeru Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mempergiatkan lagi pelbagai program dalam mendekati komuniti setempat terutama golongan belia bagi memastikan kursus ditawarkan memenuhi kehendak dan keperluan semasa. Kerajaan memperuntukan RM 25 juta kepada JPPKK tahun ini untuk melaksanakan pelbagai pemerkasaan program TVET dengan mensasarkan 25,000 pelatih mendapat manfaat.
SUMBER BERNAMA
No comments:
Post a Comment